Thursday, January 22, 2009

Pesanan HAMAS kepada muslim Malaysia

Pesanan Dr Khalil al-Haya mewakili HAMAS
di Palestin untuk umat Islam di Malaysia. Beliau telah berada di
Malaysia pada tahun lalu untuk siri kempen "Bersama Menyokong Rakyat
Palestin dan kerajaan HAMAS".Pesanan diterjemahkan oleh
Maszlee Malik di atas permintaan Dr Khalil.

Alhamdulillah,
Allah telah memilih kami yang berada di Palestin untuk berjihad.
Kami telah dipilih untuk menjadi barisan hadapan kepada umat Islam.
Kami telah dipilih oleh Allah SWT untuk mengorbankan jiwa, nyawa,
harta, anak-anak kami untuk menentang musuh Allah dan mempertahankan
Masjid al-Aqsa. Kami juga telah dipilih oleh Allah SWT untuk mewakili
umat Islam di seluruh dunia untuk menjadi benteng pertahanan kepada
al-Aqsa, kiblat pertama umat Islam dan juga masjid ketiga suci mereka.
Kami juga telah dipilih oleh Allah untuk menjadikan mati syahid sebagai
impian utama kehidupan kami berbanding kehidupan dunia. Selama lebih
daripada 60 tahun, kami hidup di medan pertempuran. Selama waktu itu
jugalah kami dijajah, dizalimi, diseksa, dibunuh dan juga diperangi.
Mengapa?,hanya kerana kami mengucapkan La Ilaha Ila Allah, dan kerana
kami mempertahankan bumi serta masjid kami.

Pelbagai bentuk kesengsaraan telah rakyat Palestin lalui.
Pengusiran dari rumah, kampung halaman, dan juga tanah watan.
Dibunuh, diseksa, ditembak, dibom, dibantai, disembelih dan apa-apa lagi
perbuatan tidak bertamadun yang boleh diungkapkan, telah kami
lalui. Generasi berganti generasi, umat Islam di Palestin tetap sabar
dan komited untuk terus kekal dan mempertahankan tanah air mereka.
Ianya adalah jihad, ianya adalah kemuliaan, ianya adalah bukti yang
ingin kami bawa sebagai mahar ke syurga
nanti. Semoga Allah menerima pengorbanan kami ini.

Pelbagai bentuk kesengsaraan telah rakyat Palestin lalui.
Ketika di waktu awal penjajahan, kami, saudara anda dari gerakan Islam
telah menjadi barisan utama perjuangan. Selepas beberapa waktu, gerakan
Islam telah dibantai penjajah. Pembantaian itu walau bagaimanapun tidak
cukup untuk melemahkan kami. Sehinggalah di zaman Jamal Abdul Naser,
sepertimana saudara-saudara kita di Mesir
dibantai, kami juga turut menerima kesannya. Semenjak tarikh
tersebut,gerakan Islam terpaksa kembali ke bawah tanah. Kmai
telah menumpukan usaha untuk pembinaan semula struktur perjuangan.
Usaha pendidikan, dakwah, tarbiyyah dan kebajikan telah menjadi agenda
utama kami. Kami laluinya dengan penuh kesabaran dan ketabahan.
Sehinggalah di pertengahan 80'an. Apabila arus sekular telah mula jemu
dengan perjuangan. Ketika arus sekular yang asalnya memandu perjuangan
rakyat Palestin telah mula lesu. Kami mula memunculkan diri sebagai
peneraju perjuangan rakyat Palestin. Perjuangan kami berbeza dengan
perjuangan sebelum ini. Perjuangan kami adalah berteraskan Islam dan kami
membawa mesej ummah. Perjuangan kami bukan hanya sekadar ingin
memerdekakan sekeping tanah, tetapi untuk memandu kebangkitan
umat Islam semula dan meninggikan syiar Islam di muka bumi ini.

HAMAS,
semenjak hari pertama penubuhannya telah menjadikan jihad sebagai
jalan utama untuk memerdekakan bumi Palestin. HAMAS juga telah
menjadikan Islam sebagai landasan perjuangannya. HAMAS juga telah
memberikan nyawa ahli-ahli mereka untuk tujuan tersebut.
HAMAS juga telah berjanji dengan rakyat Palestin dan juga
kepada umat Islam untuk terus komited dengan
perjuangan mereka. HAMAS juga berjanji untuk memerdekakan masjid
al-Aqsa walaupun terpaksa berjuang dengan kuku dan gigi sahaja.
Itulah janji kami.

Selepas hampir 20 tahun berjuang, Allah memberikan hasilnya kepada
perjuangan HAMAS. Kami diberi kepercayaan oleh rakyat untuk memerintah
mereka. Kemenangan ini, walaupun indah, namun ianya merupakan ujian
yang getir bagi kami. Kemenangan tersebut merupakan era baru perjuangan
HAMAS. Kami terpaksa menambahkan satu lagi ruang di dalam perjuangan
kami, iaitu ruangan politik pemerintahan. Semakin bertambahnya beban,
semakin tingginya perngorbanan.

HAMAS juga berjanji untuk memerdekakan masjid al-Aqsa walaupun
terpaksa berjuang dengan kuku dan gigi sahaja.

Buat umat Islam di Malaysia, andalah saudara kami yang paling hampir
di Malaysia. Hati-hati kita telah diikat dengan fikrah dan aqidah
yang sama. Kita telah dihimpunkan di dalam ikatan kerohanian yang
jitu. Kita telah ditakdirkan untuk bersama di dalam perjuangan dengan
manhaj yang sama. Kami adalah wakil anda di Palestin. Kemenangan
kami adalah kemenangan anda. Pemerintahan kami adalah pemerintahan anda.
Kerajaan HAMAS adalah kerajaan umat Islam dan hadiah buat perjuangan
pecinta Islam di seluruh dunia. Tidakkah anda sedar perkara ini?, jika
anda tidak sedarkan perkara ini siapakah lagi yang akan
menyedarinya? ??

Umat Islam di Malaysia sekelian, menjadi pemerintah bukanlah sesuatu
yang mudah. Apatah lagi memerintah di dalam fasa penjajahan dan
peperangan. Apatah lagi jika pemerintahn itu hanyalah memerintah sebuah
negara yang tidak berdaulat dan dinafikan kedaulatannya. Apatah lagi apabila
memerintah sebuah negara yang menjadi sasaran keganasan penjajah
Zionis yang didokongi oleh kuasa besar dunia yang zalim. Apatah lagi
pemerintahan tersebut adalah mewarisi pemerintahan sebelumnya
yang meninggalkan beban hutang sebanyak USD 3 billion di dalam akaun
kerajaan. Inilah realiti kerajaan yang kami terajui. Inilah juga
realiti kerajaan yang diterajui oleh HAMAS di Palestin. Inilah realiti
kerajaan yang mewakili anda semua di seluruh dunia.

Sehingga kini, para pegawai kerajaan, termasuk para menteri, tidak
menerima gaji semenjak 3 bulan yang lalu. Tahap pengangguran telah
mencaai 31% di Gaza dan Tebing Barat. Bekalan makanan dan petrol semakin
berkurangan. Ubat-ubatan di hospital semakin kehabisan. Baru-baru ini,
tiga orang bayi telah meninggal di hospital di Gaza kerana ketiadaan
ubat-ubatan yang mencukupi. Pelajar-pelajar tidak akan dapat menduduki
peperiksaan kerana kehabisan kertas di sekolah-sekolah di Gaza dan Tebing
Barat. Hatta, persidangan parlimen (Majlis Legaslatif) kami di Gaza
hampir-hampir dibatalkan kerana kekurangan kertas.

Mengapa ini semua?, ianya adalah kerana keberkesanan tekanan yang
dikenakan ke atas rakyat Palestin oleh rejim Zionis, AS dan juga EU.
Tekanan yang dikenakan hanya semata-mata rakyat Palestin
telah memilih calon yang mereka inginkan di dalam pilihanraya yang lalu.
Tekanan yang dikenakan kerana kami enggan menurut ugutan mereka
supaya mengiktiraf penjajahan Zionis. Tekanan juga dikenakan kerana
kami ingin mempertahankan diri kami daripada dibunuh oleh pihak penjajah.
Sampai bilakah tekanan ini akan berakhir?

Wang hasil kutipan cukai kami yang berjumlah USD 55 juta sebulan tidak pernah dipulangkan kepada rakyat Palestin.Rejim Zionis telah mengambilnya dari kami dan tidak pernah dipaksa untuk memulangkannya kepada kami. Mengapa tiada kuasa
yang memaksa rejim Zionis untuk memulangkannya. Mereka juga telah
menutup laluan udara, darat dan laut kepada tanah Palestin. Ekonomi kami berada di tangan rejim Zionis kerana perjanjian gila dan bodoh yang telah dipersetujui oleh
kerajaan sebelum ini. Walau bagaimanapun, kami tidak mengharapkan itu semua.

Kami yakin, saudara-saudara seislam kami masih
dapat membantu kami. Kami yakin saudara seaqidah kami akan dapat
menampung keperluan rakyat Palestin dan mencukupinya. Kami yakin juga, saudara seaqidah kami di seluruh dunia akan dapat membuatkan kami terus hidup dan tidak
bergantung kepada bantuan-bantuan daripada negara-negara bukan Islam,
apatah lagi dari rejim Zionis. Persoalannya, di manakah saudara-saudara
kami? Di manakah mereka di kala kami memerlukan mereka?

Wahai umat Islam di Malaysia. Kami mengharapkan agar anda mengepalai
kempen untuk menyelamatkan kerajaan HAMAS di bumi
Malaysia ini. Kami hanya mempunyai dua pilihan. Pertamanya,
tunduk kepada tekanan AS dan EU lantas mengiktiraf Israel demi
menghilangkan kesengsaraan rakyat. Pilihan yang kedua adalah
teruskan berjuang dan tidak sekali-kali
tunduk kepada tekanan. Kami telah memilih pilihan
yang kedua. Kami akan terus berjuang ke titisan darah terakhir kami.
Kami tidak akan sekali-kali mengiktiraf penjajah. Kami tidak akan
sekali-kali tunduk kepada tekanan. Malangnya rakyat hanya boleh
bertahan selama enam bulan. Tiap-tiap hari, rakyat mengadakan perarakan
menyokong kerajaan dan menggesa agar kerajaan HAMAS tidak tunduk kepada
tekanan. Kami yakin, rakyat akan terus menyokong, tetapi sampai bila?,
perut mereka akan kosong. Kami tidak akan membiarkan rakyat kami
kelaparan dan sakit tanpa rawatan. Kami perlukan bantuan anda untuk
melakukannya. Mahukah anda melihat kerajaan HAMAS di Palestin
membiarkan rakyatnya kelaparan?


Umat Islam di Malaysia sekelian,
Kami akan terus berjuang. Kami akan terus tetap dalam
perjuangan sehinggalah setiap daripada kami akan gugur syahid. Kami
akan terus memastikan prinsip Islam akan terus dijulang. Namun kami
memerlukan sokongan dan bantuan anda.

Jikalau kami gugur syahid, dan anda sekelian terus diam membisu
dan hanya menyaksikan sahaja, nantikan hari pembalasan.
Kami akan tuntut dari Allah di atas kelembapan anda semua.
Kami tidak akan redha terhadap kelesuan dan
kebisuan anda semua. Kami tidak akan memaafkannya.
Kami mengharapkan agar anda menyumbang USD 1 (RM 3.60) setahun
sahaja untuk menanggung kesengsaraan rakyat Palestin.


Umat Islam di Malaysia,

Kami mengharapkan agar anda bersikap pro-aktif.
Kami mengharapkan agar anda menyumbang USD 1 (RM 3.60)
setahun sahaja untuk menanggung kesengsaraan rakyat Palestin.

Kami juga mengharapkan agar anda melobi kerajaan anda yang
menjadi pengerusi OIC untuk melakukan sesuatu.

Kami juga berharap dari anda untuk melakukan kempen kesedaran,
dan libatkan masyarakat Malaysia, termasuk pertubuhan-pertubuhan
bukan Islam untuk turut membantu rakyat Palestin.

Kami juga inign melihat anda menjadi juara di peringkat
antarabangsa di dalam kempen kesedaran ini.

Banjiri media anda dengan isu Palestin dan al-Aqsa. Halakan
mereka untuk menyokong perjuangan rakyat Palestin.

Kepalailah usaha serantau untuk tujuan tersebut,
andalah harapan kami.

Dan akhir sekali, kami mengharapkan agar anda tidak
melupakan kami di dalam doa-doa anda sekelian.
Berdoalah agar kami thabat di dalam perjuangan.
Berdoalah agar kami tetap di dalam perjuangan kami.
Berdoalah agar kami dikurniakan mati syahid.
Berdoalah juga, agar kita dapat bersama-sama
bersolat di dalam Masjid al-Aqsa satu hari nanti,
di mana pada waktu itu, bendera Islam akan berkibar
dan syariat Allah akan berdaulat sekali lagi di atas muka bumi ini...

Allah Akbar!!!

Saudaramu,
Khalil Ismail al-Haya
Ketua Whip HAMAS di Majlis Legaslatif
Palestin

No comments: